Review: Balkanisasi siber: Gangguan kepada semangat 1Malaysia

by 02:01 0 comments

Artikel yang bertajuk Balkanisasi siber: Gangguan kepada semangat 1Malaysia tulisan Dr. Rahmat Ghazali yang disiarkan di laman http://suaramurba.blogspot.com membuka minda kita berkenaan penggunaan Internet dan impaknya kepada masyarakat. Apa itu balkanisasi? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, balkanisasi atau kata akarnya balkan bermaksud pertengkaran. Berdasarkan artikel tersebut, konsep balkanisasi didefinisikan sebagai satu konsep geopolitik yang bermaksud proses pemisahan negara-negara Balkan. Ia digunakan untuk menggambarkan fenomena politik yang penuh dengan konflik antara sesama mereka yang telah memecahbelahkan mereka dan membawa kepada sifat ekstrim (Ghazali, 2011). Balkanisasi siber merupakan kebebasan penggunaan Internet sehingga membentuk perbezaan fahaman antara kumpulan seterusnya menjurus kepada aktiviti keganasan.

 Tragedi 13 Mei 1969 akibat rusuhan kaum mengorbankan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda.


Terdapat beberapa kesan negatif balkanisasi siber yang ditonjolkan oleh penulis dalam artikel tersebut. Hal ini dapat dilihat daripada kesan penyalahgunaan Internet dan media baru yang muncul. Pelbagai berita palsu disebarkan selain bahan yang yang membangkitkan isu perkauman. Sehingga menyuntik rasa benci pada kaum lain. Bukan itu sahaja, bahkan ada rakyat yang benci kepada pemimpin hanya selepas membaca artikel fitnah di laman sesawang. Segalanya di hujung jari. Hanya masukkan maklumat yang ingin dicari di enjin carian Google, pelbagai maklumat berkaitan maklumat tersebut akan dipaparkan. Maklumat berkenaan ilmu bermanfaat sehinggalah ke bahan-bahan yang berunsur pornografi. Terbaru, pelajar pintar Matematik dari Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin yang berusia 23, telah  dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak. Kegiatan tidak sihat pelajar ini telah terbongkar setelah pihak polis Metropolitan berjaya menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun beribu-ribu video dan imej lucah kanak-kanak. Lihat, bagaimana kebebasan Internet mampu menghancurkan kehidupan seorang pelajar genius.

Ucapan berbuka puasa dengan menu Bak Kut The oleh Alvin dan Vivian telah mengundang kemarahan umat Islam.


Internet mampu memberi seribu satu manfaat kepada penggunanya dengan syarat pengguna harus bertanggungjawab dan bijak memilih bahan. Perlu diingat, etika kewartawanan bukan sahaja wujud di media arus perdana, namun media baru sebegini juga perlu mempraktikkan etika demi kebaikan semua pihak. Kebebasan penggunaan Internet yang diberikan oleh kerajaan bertujuan untuk mencambahkan minda rakyat dengan pelbagai ilmu agar setanding dengan negara maju. Namun, sebagai pengguna, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahan yang disediakan di Internet merupakan sesuatu yang boleh dipercayai sebelum diterima.

Selain itu, kewujudan kumpulan atau golongan ekstrim terhadap sesuatu fahaman turut menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada keburukan Internet. Bermula dari sekecil-kecil isu seperti kumpulan peminat selebriti sehinggalah ke isu yang lebih besar melibatkan perkauman dan politik. Dua kumpulan yang berbeza ideologi mula menyebarkan maklumat berkenaan fahaman mereka di Internet. Pelbagai maklumat yang membangkitkan kemarahan rakyat seperti isu perkauman, anti kerajaan dan kebencian mudah didapati di Internet. Golongan sebegini adalah golongan ekstrim yang tidak dapat membuat pertimbangan dalam menilai sesuatu berita. Bagi mereka kredibilti sesuatu artikel tidak lagi penting, apa yang penting bahan yang dibaca seiring dengan fahaman mereka. Akibat perbezaan ini, aktiviti keganasan juga mudah tercetus. Berdasarkan artikel tulisan Dr Rahmat Ghazali (2010), terlalu banyak bahan caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum oleh golongan dan individu yang tidak bertanggungjawab boleh didapati melalui enjin carian Google. Antara yang tertinggi ialah “Melayu Babi”.


Kesimpulannya, balkanisasi siber dilihat sebagai salah satu halangan kepada perpaduan kaum di Malaysia. Keharmonian yang kita ada perlu dipertahankan dengan kebijaksanaan rakyat dalam menilai sesuatu perkara. Apa yang dipaparkan di Internet bukanlah boleh diambil bulat-bulat. Gunakanlah kemudahan ini dengan bijak. Ingatlah, tiada kebebasan mutlak dalam kehidupan kita.

Petikan akhbar yang menyiarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peristiwa 13 Mei mungkin berulang sekiranya tiada perpaduan kaum.

amni ahmad

Developer

Amni Ahmad. 21. Kedahan. Journalism school. Never give up.

0 comments:

Post a Comment