POTA Wajar atau Tidak?

by 09:40 0 comments

Seorang suspek yang ditahan pasukan Counter Terrorism, Cawangan Khas ,Polis Diraja Malaysia (PDRM) 



Undang-Undang Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Prevention of Terrorism Act) atau POTA kini menjadi perdebatan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Undang-undang ini bertujuan untuk menyekat aktiviti keganasan yang dilihat semakin meruncing. Kini, Malaysia berhadapan dengan ancaman keganasan bentuk baharu seperti kumpulan militan yang mengelarkan diri mereka sebagai Negara Islam (IS). Berdasarkan laporan Sinar Harian online bertarikh 7 April, seorang daripada 17 lelaki yang disyaki pengganas IS telah ditahan oleh anggota Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia di sekitar ibu negara dan Kedah. Perkara ini cukup membimbangkan sekiranya tiada kawalan diambil kerana ia melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru itu, akta ini dilihat cukup bertaring untuk membantu pihak berkuasa memastikan tiada sebarang penularan aktiviti keganasan ke negara ini.

Setelah melalui perbahasan selama 14 jam, akhirnya rang Undang-Undang Akta Pencegahan Keganasan 2015 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pukul 2.26 pagi 7 April yang lalu. Dengan undian sokongan 79 undi bersetuju dan 60 undi tidak bersetuju undian belah bahagian yang terakhir telah memihak kepada kerajaan. Antara isu yang menjadi perdebatan hangat di kalangan pihak pembangkang adalah POTA dianggap sebagai jelmaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dihapuskan pada tahun 2011. Biarpun POTA dilihat sebagai satu alat untuk mencabuli hak asasi individu, harus diingat ia turut memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan majoriti.

 POTA bukanlah satu jelmaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diperkatakan oleh pihak pembangkang. Kedua-dua akta ini mempunyai beberapa perbezaan. Memetik laporan dari Utusan Online pada 9 April, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa POTA tidak memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang yang disyaki tetapi ia diputuskan oleh panel bebas yang dilantik dan diketuai oleh bekas hakim.

Berdasarkan seksyen 4(3) POTA “No person shall be arrested and detained under this section solely for his political belief or political activity” (tidak seorang pun boleh ditangkap atau ditahan di bawah seksyen ini disebabkan hanya oleh kepercayaan atau aktiviti politiknya). Jelas, menunjukkan tiada sebarang campur tangan politik dalam penahanan seseorang sebaliknya penahanan berkaitan aktiviti keganasan. Walaupun seksyen ini terkandung dalam POTA, banyak pihak masih sangsi dengan ketelusan akta ini.

Kesangsian ini timbul apabila di bawah seksyen 19 (1) POTA ada menyatakan bahawa “There shall be no judicial review in any court …in respect of any act done or decision made..” Dakwaan ketiadaan kuasa mahkamah ini sebenarnya tidak tepat. Hal ini kerana, sekiranya timbul persoalan tentang pematuhan apa-apa prosedur yang ditetapkan di bawah akta ini, persoalan itu masih boleh dirujuk ke Mahkamah. Kuasa Mahkamah masih lagi wujud.

Selain itu, akta baharu ini juga memberi kuasa eksekutif kepada Lembaga Pencegahan Keganasan yang anggotanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan orang yang ditahan boleh menemui waris serta mendapat khidmat peguam pilihan masing-masing. Ia tidaklah sekejam yang dibayangkan oleh sesetengah pihak.  Hal ini membuktikan POTA lebih bersifat adil dan berkesan.

Di bawah POTA, seorang yang ditangkap mesti dibawa ke Majistret dalam tempoh 24 jam. Tangkapan yang dibuat oleh pegawai polis itu mesti dirujuk kepada Pendakwa Raya tidak lewat dari 7 hari bagi maksud mendapatkan arahan selanjutnya. Kedua-dua perkara ini tidak diperuntukan dalam ISA. Perkara ini sekaligus menangkis persepsi yang mengatakan bahawa akta ini merupakan jelmaan ISA.

Di bawah perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, kuasa istimewa diberi untuk membanteras sebarang keganasan atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan atau menimbulkan perasaan hasad dengki antara kaum. Akta yang dibuat di bawah Perkara 149 boleh mengandungi peruntukan yang menyalahi hak asasi rakyat seperti yang disebutkan dalam Perkara 5, 9, 10 atau 13. Suatu ketika dahulu, ISA juga telah diluluskan dibawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Ramai yang beranggapan bahawa akta ini telah mencabuli hak asasi individu, namun apabila diteliti semula kepentingan majoriti melampaui hak individu. Sebagai contoh, apabila sesebuah negara berhadapan dengan isu ancaman pengganas yang mampu menggugat keselamatan negara tersebut strategi pencegahan adalah kaedah paling berkesan. Demi menjaga kepentingan rakyat yang hidup harmoni, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang melibatkan diri dengan aktiviti keganasan.

Setiap kerajaan pasti menginginkan yang terbaik buat rakyatnya. Kerajaan yang bertanggungjawab akan mendahului kepentingan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara berbanding hak asasi individu. POTA dilihat sebagai satu alat yang baik untuk membanteras aktiviti keganasan yang semakin menular pada masa kini. 




amni ahmad

Developer

Amni Ahmad. 21. Kedahan. Journalism school. Never give up.

0 comments:

Post a Comment