Wartawan Segera

by 09:20 0 comments
Penyebar berita palsu ketika bencana banjir di Kelantan dikecam


Dunia kini hanya dihujung jari. Internet merupakan satu ciptaan yang telah membawa satu anjakan paradigma dalam dunia kewartawanan. Kemajuan teknologi telah menyebabkan berlakunya perkongsian maklumat tanpa sempadan. Segala maklumat dapat disampaikan dengan mudah dan pantas. Namun, setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukan. Apakah yang dimaksudkan dengan wartawan segera? Wartawan segera merupakan golongan yang menggunakan Internet sebagai medium utama dalam menyebarkan maklumat. Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang yang kebanyakannya tidak diketahui. Sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan segera.  



Akaun Twitter palsu Astro Awani yang digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu mengenai pesawat MH370.


Kini, media baru seperti Facebook, Twitter dan blog muncul sebagai salah satu medium untuk rakyat mendapatkan maklumat. Golongan muda merupakan golongan majoriti yang menggunakan medium ini. Namun, apa yang membimbangkan ialah adakah perkongsian ini datang dari sumber yang tepat? Siapakah mereka yang menulis dan menyebarkan maklumat ini? Adakah mereka ini dikategorikan sebagai sumber yang boleh dipercayai?


Berita palsu berkenaan insiden MH370 yang dimuatnaik di status Facebook.


Kita sedia maklum dengan kewujudan media tradisional yang menyampaikan berita melalui beberapa proses tapisan. Segala maklumat yang ingin disampaikan akan diteliti kesahihan dan ketepatannya terlebih dahulu sebelum diterbitkan di dada akhbar dan kaca televisyen. Berbeza pula dengan media sosial.  Sesiapa sahaja boleh menggunakan medium ini untuk menyebarkan maklumat dengan hanya bersembunyi di sebalik sebuah ‘monitor’. Apa yang menghairankan ialah golongan muda dilihat lebih mempercayai maklumat yang disampaikan di Internet dan menganggap media tradisional mempunyai agenda tersendiri dalam penyampaian berita.

Internet merupakan satu medium yang sangat luas dan sukar untuk dikawal. Penyebaran maklumat palsu di dalam media sosial sangat membimbangkan. Lihat sahaja kejadian MH370, pelbagai spekulasi disebarkan di medium tanpa sempadan ini. Tanpa mereka sedari, ada hati yang terguris dan masih bimbang dengan keadaan insan yang tersayang. Bukan itu sahaja, penyebaran maklumat mengenai berita palsu yang boleh mengundang keresahan rakyat Malaysia seperti bom palsu, bencana alam, kematian dan lain-lain lagi. Berita yang direka ini seolah-olah sengaja menimbulkan keresahan rakyat.

Fikir sebentar. Di universiti, apabila kita diberi tugasan oleh pensyarah. Adakah sumber sebegini boleh dipakai? Adakah kita ingin membuat keputusan memilih sesuatu atau melabel sesuatu dengan hanya berpandukan Internet. Sebagai rakyat yang arif lagi bijaksana, adakah Facebook, Twitter dan blog sudah cukup sebagai rujukan? Percaya itu boleh tetapi bukan dengan membabi buta. Hanya kerana emosi, kita hilang pertimbangan dalam memilih sumber berita yang tepat. Ingatlah, sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan segera di Internet. Fikir, tapis dan buatlah pilihan anda. 






amni ahmad

Developer

Amni Ahmad. 21. Kedahan. Journalism school. Never give up.

0 comments:

Post a Comment